PENGALAMAN BERMAKNA YANG TAKKAN DITEMUI DI MANA-MANA...
>> Saturday, November 28, 2009
Pada 22 November 2009 ketika semua penuntut sekolah sedang asyik menikmati cuti hujung tahun yang baru bermula, 40 orang pelajar sekolah ini telah berkorban waktu semata-mata untuk memeriahkan lagi upacara pelancaran Pesta Jagung peringkat Daerah Kota Marudu. Mereka telah membuat persembahan Koir dan Tarian 1 Malaysia dalam acara tersebut dan sekaligus membuka mata dunia tentang kehebatan serta menjulang nama sekolah ini ke peringkat yang lebih tinggi.
Selesai acara, pelajar-pelajar tersebut telah dibawa melawat ke gerai-gerai pameran yang mempamerkan pelbagai khidmat dan produk masing-masing. Antara gerai yang dilawati ialah Pameran MOSTI yang meliputi variasi perkhidmatan yang terdapat dalam Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Pelajar-pelajar sempat mencuba sendiri pelbagai bahan pameran termasuk bahan dari Pusat Sains Negara, Technology Park dan banyak lagi.
Mejar Dr. Faiz Khaleed memang seorang yang peramah dan suka memberikan galakan terutamanya kepada pelajar-pelajar sekolah. Ini ternyata apabila beliau sempat memberi kata-kata semangat dan dorongan kepada pelajar-pelajar kita yang berkerumun bergambar bersama beliau. "Buat yang terbaik dan simpanlah cita-cita yang tinggi sama ada untuk menjadi angkasawan negara seperti saya atau apa sekalipun. Untuk mencapai cita-cita, kita haruslah mengutamakan kepada pelajaran, menghormati Ibu bapa, menjauhi dadah dan jangan terpengaruh dengan gejala negatif. Tanpa pelajaran tiada siapa yang akan memandang kita. Suatu ketika nanti kami akan pergi meninggalkan dunia ini, maka kamulah yang akan menggantikan tempat kami. Jika kamu tidak mempunyai cukup ilmu, maka hancurlah Malaysia nanti". Demikianlah antara pesanan yang disampaikan oleh Mejar Dr. Faiz Khaleed kepada pelajar-pelajar kita ketika ditemuramah oleh DJ Utara FM dalam lintas langsung menerusi internet sempena Pesta Jagung 2009 ini.
Bertuah sungguhlah kepada pelajar-pelajar yang sempat bersalaman dan mengabadikan foto bersama Mejar Dr. Faiz Khaleed, Angkasawan Negara. Kata pepatah, 'Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu". Diharapkan agar pelajar-pelajar yang terlibat beroleh manfaat yang besar hasil daripada penyertaan ke Pesta Jagung tahun ini. Sekalung tahniah dan penghargaan buat semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam penganjuran Pesta Jagung tahun 2009 ini sehingga tercetusnya idea untuk menampilkan pelajar-pelajar SK. Masalog dalam persembahan Koir dan Tarian 1 Malaysia. Mudah-mudahan ada lebih banyak lagi peluang seperti ini dibuka kepada pelajar sekolah ini di masa akan datang. Pasti akan kami sahut cabaran itu dengan penuh semangat "1 MALAYSIA". Adios..
0 comments:
Post a Comment